Wednesday 24 August 2011

Peluang pelatih PDK berdikari

JUASSEH – Pelbagai gelagat dapat dilihat apabila 21 pelatih orang kurang upaya (OKU) Pusat Dalam Komuniti (PDK) Juasseh diberi peluang memilih baju raya disalah sebuah pusat beli-belah dekat sini, kelmarin.

Program anjuran PDK itu yang menerima peruntukan daripada Adun Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail sudah pasti memberi kegembiraan buat pelatih kerana dapat memilih pelbagai corak dan warna pakaian sendiri sempena Aidilfitri ini.

Penyelia PDK Juasseh, Azimah Baharum, 33, berkata, aktiviti seperti ini memang diadakan setiap tahun bagi memberi keceriaan kepada pelatih untuk merasai kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Mereka dibawa ke pasar raya dekat sini dengan tujuan merasai pengalaman sendiri memilih baju raya mengikut cita rasa masing-masing sambil dibantu oleh pekerja PDK.

“Melalui pengalaman ini, mereka boleh berdikari dengan membuat keputusan sendiri dan meningkatkan keyakinan berkomunikasi dengan masyarakat luar. Pendedahan ini juga mampu memberi 1001 pengalaman berharga buat mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama, Pengerusi PDK Juasseh, Mariah Abu@Ahmad.

Azimah berkata, pihaknya amat berbesar hati dan bersyukur kerana nasib kanak-kanak di PDK mendapat perhatian pemimpin kawasan dan Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah, ini semua rezeki Ramadan. Mereka sangat seronok dan saya berharap Aidilfitri kali ini memberi seribu satu kegembiraan kepada mereka.

“Program seperti ini memberi impak yang besar apabila pelatih diberi pendedahan kepada dunia luar. Mereka bukan sekadar hidup dalam dunia mereka sahaja tetapi dapat bergaul mesra dengan orang luar sekali gus menyatakan kebajikan mereka tidak diabaikan,” katanya.

Katanya, ibu bapa pelatih turut sama membantu anak masing-masing memilih pakaian.

“Bukan selalu dapat peluang macam ini sebab kami tidak mampu untuk berbelanja besar. Dengan sumbangan yang dihulurkan, Insya-Allah kebajikan mereka terus diberi perhatian oleh pihak berkaitan,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9459288.asp

No comments:

Post a Comment