Tuesday 26 July 2011

Perkongsian ilmu beri kelainan

JUASSEH – Perkongsian ilmu guru cemerlang amat penting dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik pelajar khususnya yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Guru Cemerlang Sejarah dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar (SSTJ), Mohd Rozi Ibrahim, 43, berkata, program Eksplorasi Sejarah Bersama Guru Cemerlang Sejarah buat julung kalinya diadakan dan merupakan platform menjana kemampuan dan mencetuskan pemikiran tinggi pelajar.

“Tuntasnya, peluang diberikan ini perlu diambil perhatian pelajar kerana melalui motivasi ini, ia memberi impak baik kepada kemajuan dan perubahan pendidikan di peringkat sekolah.

“Guru cemerlang perlu mencipta kecemerlangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Ini khidmat yang perlu dilaksanakan guru cemerlang seiring dengan anugerah diterima itu,” katanya.

Mohd Rozi berkata demikian ketika ditemui selepas program Eksplorasi Sejarah daerah Kuala Pilah bagi pelajar Tingkatan Lima di Dewan Sri Gemilang Sekolah Menengah (SM) Vokasional Juasseh, baru-baru ini.

Menurutnya, guru cemerlang dalam mata pelajaran lain perlu memainkan peranan menyalurkan ilmu pengetahuan kepada pelajar juga dalam kalangan pendidik lain.

“Perkongsian ilmu ini dapat meningkatkan kefahaman dan penghayatan dalam subjek yang ditetapkan seperti Matematik, Sains dan lain-lain.

“Pengembangan kemampuan dalam merencanakan pembelajaran melalui pendekatan inkuri dan eksplorasi memberi kelainan dalam konteks pembelajaran,” katanya.

Malah katanya, langkah program itu merupakan satu perkongsian pintar antara guru cemerlang dengan guru Sejarah di seluruh daerah Kuala Pilah.

“Di sini, kita boleh berkongsi maklumat, mencorakkan situasi pembelajaran yang menarik dan menjadikan mata pelajaran sejarah relevan, penting serta berguna kepada pembangunan dan perkembangan diri pelajar.

“Di samping itu, kita dapat menyusun dan merancang pembelajaran yang mencabar kebolehan pelajar ke arah pengembangan pemikiran serta menggalakkan pelajar berfikir secara kritis, analitis dan kreatif,” katanya.

Menurutnya lagi, strategi koperatif dan kolaboratif amat penting dalam pembelajaran kerana ia memerlukan pelajar bekerjasama dalam kumpulan bagi mengatasi sesuatu masalah, memberi maklum balas dan meningkatkan daya ingatan yang tinggi.

Sinar Harian difahamkan, daerah Kuala Pilah mempunyai 43 guru cemerlang dari pelbagai bidang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohammad Razi Kail; Ketua Sektor Pengurusan Akademik Pejabat Pelajaran, Kamanizam Tindek; Pengetua SM Vokasional Juasseh dan Guru Cemerlang Sejarah, Azlin Yahaya.sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9371281.asp

Monday 25 July 2011

6,771 dikesan alami diabetes

JUASSEH – Faktor kurang kawalan terhadap penyakit tidak berjangkit menunjukkan 80 peratus masyarakat di daerah ini kurang peka kepada masalah kesihatan.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Pilah, Dr Faid Abd Rashid, berkata hanya 20 peratus daripada masyarakat di sini mengawal penyakit mereka menyebabkan statistik penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan darah tinggi kian meningkat.

“Kawalan ini amat penting bagi mengelakkan berlakunya komplikasi organ dalaman badan seperti kegagalan fungsi buah pinggang dan jantung.

“Masalah ini sering terjadi kepada mereka yang tidak mengawal penyakit seperti terlupa makan ubat, tidak bersenam dan mengambil mudah kepada penyakit yang dialami,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pada program Kem Kesihatan Kawal Gula, Kawal Diabetis, Hidup Sihat, Cergas dan Ceria di dewan Hadhari Juasseh Pekan anjuran Panel Penasihat Kesihatan dan Klinik Kesihatan Juasseh.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh; Datuk Mohammad Razi Kail dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sekitar DUN Juasseh.

Katanya, di daerah ini, seramai 6,771 pesakit mengalami kencing manis, namun pesakit yang menjalani rawatan susulan seramai 3,866 sahaja.

“Begitu juga bagi penyakit darah tinggi seramai 6,419 pesakit, namun yang sering mengunjungi klinik hanya seramai 3,549 orang.

“Bagaimanapun, kita juga melihat kepada beberapa faktor seperti berpindah rumah dan masalah pengangkutan,” katanya.

Sementara itu, Dr Faid berkata, Kem Kesihatan yang dianjurkan itu merupakan inisiatif bagi membantu masyarakat melakukan pemeriksaan secara percuma dan tidak perlu pergi ke klinik.

“Kem ini juga sebagai langkah untuk mengesan lebih awal penyakit tidak berjangkit dalam kalangan penduduk di Pekan Juasseh dan sekitarnya.

“Di samping itu, kita juga memberi maklumat penting seperti pengambilan pemakanan yang seimbang. Ini kerana, Negeri Sembilan merupakan negeri yang mencatat rekod tertinggi bagi penyakit kencing manis,” katanya.

Sehubungan itu katanya, sebanyak tujuh buah klinik kesihatan di daerah ini memberi rawatan percuma dalam program bersama masyarakat.

“Justeru itu, saya sarankan semua penduduk untuk datang beramai-ramai mengunjungi kaunter kesihatan bagi tujuan memeriksa tahap kesihatan mereka. Langkah ini sebagai pencegahan awal menyaring penyakit tidak berjangkit,” katanya
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9367960.asp

Thursday 21 July 2011

Pas utama program kebajikan

KUALA PILAH – Pas Kuala Pilah terus membantu dan mempergiat gerak kerja kebajikan rakyat, di sini demi kesejahteraan bersama.

Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Pilah, Zaharuddin Othman berkata, mereka bergerak dari rumah ke rumah bagi membantu mengurangkan masalah rakyat miskin di Kuala Pilah yang masih lagi pada tahap belum memuaskan.

Menurutnya, rakyat miskin di Kuala Pilah adalah tertinggi berbanding daerah lain di Negeri Sembilan.

“Sebanyak 24 peratus daripada jumlah kadar kemiskinan di Negeri Sembilan seperti dikeluarkan Laman Web Rasmi Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri, Negeri Sembilan.

“Atas kesedaran, keprihatinan dan tanggungjawab, Pas Kuala Pilah giat melaksanakan program Kebajikan Bersepadu dalam membantu masyarakat memerlukan,” katanya.

Zaharuddin berkata, program bersepadu itu adalah kesinambungan program sebelum ini.

“Salah satunya ialah program turun padang menyampaikan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan berpendapatan rendah, orang kurang upaya (OKU), orang sakit, warga emas dan ibu tunggal.

“Di samping itu, kami akan membuka Pusat Khidmat di markas Pas Kuala Pilah dan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menerima serta menangani masalah yang dihadapi masyarakat setempat di DUN tersebut,” katanya.

Malah katanya, program bersepadu itu juga melibatkan khidmat sosial seperti gotong-royong membersihkan kawasan rumah, membaiki komputer, khidmat tuisyen dan lain-lain.

“Program ini selaras dengan motto Negara Berkebajikan yang didukung Pas dan merupakan penterjemahan secara praktikal makna motto tersebut.

“Pas prihatin dan mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik serta akan terus membantu mereka agar dapat merasai hidup lebih bermakna sama seperti rakyat lain,” katanya.

Justeru itu, sebagai permulaan, Pas Kuala Pilah telah turun padang memberikan sumbangan kepada individu di DUN Senaling.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua Pas Kawasan, Abd Karim Shahimi Abd Razak; Bendahari Pas Kawasan Kuala Pilah Shaharudin Abd Rahman; Pengerusi Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat Pas Kawasan, Noorbibah Mahmud dan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Kuala Pilah. Rosidi Yusof.

Sinar Harian turut difahamkan, sumbangan ini akan diteruskan secara berkala dan akan dipergiatkan pada Ramadan yang akan datang serta membantu mereka yang memerlukan untuk menyambut Aidilfitri.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9354374.asp

Wednesday 20 July 2011

Masih tidak serik

KUALA PILAH - Seorang lelaki seperti tidak serik apabila ditahan polis buat kali kedua kerana didapati memiliki selaras senapang angin di sebuah rumah di Kampung Sungkak dekat sini, 14 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Jaafar Baba berkata, suspek berumur 38 tahun itu pernah dituduh dan dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah, dekat sini atas kesalahan sama, tahun lalu.

Menurutnya, susulan maklumat diterima, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah menyerbu rumah suspek kira-kira jam 12.30 tengah hari, 14 Julai lalu.

“Dalam serbuan itu, polis menemui selaras senapang angin, sebatang besi dan satu beg kecil bersama tali pinggang yang mengandungi 84 butir bebola besi dan tembaga padu,” katanya ketika mengadakan sidang media di IPD Kuala Pilah, dekat sini, semalam.

Jaafar berkata, suspek dipercayai mempunyai kepakaran membuat senapang angin yang dijual pada harga sekitar RM300 selaras dan dia menggunakan wang hasil jualan untuk membeli dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 kerana disyaki memiliki senjata tiruan dan suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini (esok),” katanya.

Beliau berkata, selain itu, lima lelaki lain berumur antara 24 hingga 38 tahun turut berada di rumah berkenaan semasa serbuan dijalankan.

“Turut ditemui adalah dua paket plastik lutsinar masing-masing mengandungi bahan berwarna merah dipercayai dadah jenis heroin dan syabu serta satu botol kaca dipercayai digunakan untuk menghisap dadah.

“Siasatan lanjut mendapati enam suspek termasuk lelaki berumur 38 tahun itu positif dadah jenis methampethamine,” katanya.

Menurutnya, kesemuanya ditahan di bawah Seksyen 12 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memiliki dadah dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9350989.asp

Tuesday 19 July 2011

Impian miliki iPad tercapai

KUALA PILAH - Prihatin dengan nasib Siti Nurul Hidayah Mohd Sofi, 13, yang terlantar sakit di Hospital Tuanku Ampuan Najihah sejak 2005, Yayasan Munarah menghulurkan sumbangan sebuah kerusi roda dan sebuah iPad.

Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan mencemar duli menyampaikan sumbangan berkenaan.

Ibu Siti Nurul Hidayah, Dayang Rohani Awang Zain, 44, berkata, anaknya sudah lama mengimpikan mahu memiliki iPad tetapi dia terpaksa pendamkan sahaja kerana tidak mampu membelinya.

“Lagipun, saya dan suami, Mohd Sofi Mohd, 49, tidak bekerja,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, anaknya tidak dapat bergerak berikutan tulang tunjangnya patah selepas tergelincir di bilik air.

“Ketika kejadian, Situ Nurul Hidayah berumur 6 tahun. Dia ghairah untuk ke Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) di Bahau walaupun seminggu telah mengikuti pembelajaran.

“Pada malam kejadian iaitu Februari 2005, Siti Nurul Hidayah beria-ia mahu tidur bersama kakak dan abangnya,” katanya.

Dayang Rohani berkata, sebelum ini anaknya itu sering tidur bersamanya.

“Dia terjaga pada waktu malam untuk ke bilik air dan tiba-tiba tergelincir sehingga kepalanya terhantuk ke lantai simen.

“Siti Nurul Hidayah menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah selama dua minggu dan kemudiannya di Hospital Kuala Lumpur selama sembilan bulan,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu disahkan tidak boleh bernafas melalui mulut ataupun hidung.

“Dia terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan seumur hidup yang ditebuk di leher, selain tidak mampu berdiri dan bercakap.

“Walaupun anak saya terima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah ini tidak cukup bagi menampung perbelanjaan lain,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9347160.asp

Monday 18 July 2011

Kerajaan Negeri perkukuh adat

SERI MENANTI – Bagi memastikan adat perpatih terus kekal di negeri ini, Kerajaan Negeri menubuhkan Unit Adat Perpatih di bawah Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 31 penerbitan buku dan sepuluh kajian dalam bentuk dokumentasi berkaitan adat perpatih telah dilaksanakan.

“Lembaga Muzium Negeri Sembilan juga mengadakan beberapa siri kursus, seminar dan bengkel dalam mencari permuafakatan sebagai tambah nilai dalam memperkasakan dan memartabatkan budaya adat perpatih.

“Saya menyarankan industri pelancongan supaya mengambil pendekatan lebih efisien bagi memastikan program mempromosikan adat perpatih mendapat pengiktirafan bukan hanya di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian Pesta Persukuan Adat Perpatih Negeri Sembilan di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan; Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri; Datuk Razak Mansor; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail; Ahli-ahli Mesyuarat Negeri dan Ketua-ketua jabatan.

Mohamad berkata, generasi muda disaran turut melibatkan diri dalam pesta berkenaan.

“Pesta ini menyaksikan pelbagai persembahan dalam mengetengahkan amalan adat perpatih selain ilmu masakan yang dapat dipelajari terutama bagi generasi muda.

“Sudah pasti masakan nenek moyang kita dahulu dapat diperkenalkan semula kepada orang ramai dan anak muda. Inilah peluang harus kita rebut untuk sama-sama merasai keenakan masakan tradisional Negeri Sembilan,” katanya.

Mohamad berkata, tema Memartabatkan Budaya Adat Perpatih dipilih bagi menggambarkan peraturan yang diamalkan, sekali gus mencerminkan budaya hidup masyarakat di negeri ini.

“Warisan yang kita miliki terutama perlu dikembang, diperkukuh, dan dipertahankan biarpun arus dunia pemodenan melanda.

“Masakan tradisional juga boleh dipopularkan sebagai lambang dan tanda ingatan kepada pelancong yang berkunjung ke Negeri Sembilan,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9338457.asp

Gangguan bekalan air di Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin Rabu ini

SEREMBAN - Beberapa kawasan di Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin akan mengalami gangguan bekalan air pada Rabu ini berikutan kerja-kerja penyelenggaraan dan pencucian berjadual Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Jelai di Jempol, Kolam Tampin, LRA Pasir Besar (Tampin) dan LRA Pedas Baru (Rembau).

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) Azlan Abdul Aziz berkata, gangguan bekalan air di Jempol dan Kuala Pilah akibat kerja-kerja penyelenggaraan LRA Kuala Jelai berlaku selama 24 jam mulai pukul 7 pagi pada hari tersebut.

"Kawasan terlibat di Jempol ialah Rumah Rakyat Rompin Peringkat 1 dan 2, Taman Melur Rompin, Kampung Tanah Panjis, Kampung Seri Rompin, Kampung Baru Rompin, Taman Bukit Pilah Estate, perkampungan Orang Asli Batu Peti dan Rokan Barat.

"Manakala kawasan terlibat di Kuala Pilah pula ialah seluruh kawasan Kuala Pilah kecuali Ulu Bendul, Talang, Tengkek dan Pekan Kuala Pilah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya gangguan bekalan air di Tampin akibat pencucian berjadual Kolam Tampin berlaku selama 12 jam mulai pukul 8 pagi dan ia melibatkan Taman Bukit Tampin, Taman Sri Berlian, Taman Woon, Taman Sri Intan, Jalan Seremban dan Kampung Ulu Chenderam.
Manakala gangguan bekalan air di Tampin berikutan kerja-kerja penyelenggaraan LRA Parit Besar berlaku selama 12 jam mulai pukul 10 pagi.

Ia melibatkan kawasan Felda Jelai Kompleks, Maju Ternak, Kampung Kurnia Diraja, Felda Sungai Kelamah, Felda Palong 1, Felda Pasir Besar, Kampung Pasir Besar, Kampung Sungai Dua, Kampung Tenai dan Kampung Geduk.

Selain itu, katanya gangguan bekalan air di Rembau berikutan kerja-kerja penyelenggaraan LRA Pedas Baru berlaku selama 12 jam mulai pukul 10 pagi.

Ia melibatkan kawasan industri Chembong, Kampung Chembong Air Hitam, Balai Bomba, Taman Desa Chembong, Taman Lela Maharaja, Rumah Rakyat Chembong dan Sekolah Menengah Datuk Sedia Raja Chembong.

Para pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Sains di talian bebas tol 1-800-88-6982. - Bernama
sumber:http://www.sinarharian.com.my/bterkini/12851.asp

Friday 15 July 2011

Jalan siap sebelum Aidilfitri

FELDA KEPIS – Penduduk Kampung Felda Kepis boleh menarik nafas lega apabila pembinaan jalan raya yang runtuh pada Mac lalu dijangka siap sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Sinar Harian difahamkan daripada peruntukan RM1.49 juta, RM700,000 digunakan untuk membaiki jalan runtuh itu dan selebihnya bagi membaik pulih kerosakan jalan dari simpang kampung Rembang Panas sehingga Jelai-Dangi sepanjang sembilan kilometer.

Pembinaan baik pulih jalan runtuh itu bermula April lalu, namun berlaku kelewatan disebabkan masalah penebangan pokok di Felda Kepis yang dijangka tamat tempoh pada bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi, Datuk Ismail Lasim berkata, projek khas itu dilaksanakan berikutan jalan runtuh di laluan FT1275, Seksyen 7, Jalan Felda Kepis kerana hujan lebat pada Mac lalu.

Menurutnya, selepas itu, beliau mohon Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat membaiki laluan itu yang digunakan sebagai jalan singkat penduduk Felda Kepis untuk ke pekan Kuala Pilah selain menghubungkan beberapa kampung.

“Di sini terdapat dua keperluan iaitu membaik pulih cerun tanah runtuh dan membaik pulih laluan sepanjang 9 kilometer dari simpang Rembang Panas ke Jelai-Dangi yang mengalami kerosakan jalan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan projek membaiki jalan runtuh dan lain-lain kerja berkaitan di laluan FT 1275 Seksyen 7 jalan Felda Kepis bersama kakitangan JKR Negeri dan daerah.

Ismail berkata, masalah kelewatan kerja-kerja membaiki dapat diatasi selepas satu perbincangan dibuat antara pihak Felda Kepis dengan JKR.

“Kita tidak mahu jalan yang sudah cantik diperbaiki rosak semula akibat kenderaan berat yang masih berulang-alik untuk mengeluarkan pokok. Difahamkan, sebanyak 10 lot tanah masih lagi belum ditebang dan pihak Felda Kepis memberi masa sehingga 31 Julai ini kepada pihak kontraktor.

“Saya berharap pihak Felda Kepis tidak melanjutkan tempoh kerja-kerja mengangkut pokok itu kerana ia boleh mengakibatkan kerugian pada pihak JKR,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap penduduk di sini gembira di atas perkhabaran berita itu sekali gus mengatasi masalah jalan rosak.

“Insya-Allah sebelum Hari Raya Aidilfitri, penduduk di sini dan kampung berhampiran dapat menggunakan jalan ini.

“Dalam tempoh kerja-kerja membaiki jalan, diharapkan penduduk dapat bersabar di atas segala kesulitan yang dialami mereka,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9331827.asp

Thursday 14 July 2011

Rumah tiada jalan keluar

GENTAM – Penduduk di rumah lot 3311 beralamat nombor 46, batu 26 Jalan Bahau, Gentam dekat sini, rasa terbeban apabila tiada jalan sempurna untuk keluar.

Mohammad Yusof Manap, termasuk tiga keluarga bimbang dan kecewa kerana sukar mendapatkan hak laluan sedangkan mereka sudah memohon kepada pihak berkaitan sejak 2001 melalui Ketua Kampung Gentam terdahulu, Allahyarham Baharuddin Arifin.

Muhammad Yusof sekali lagi membuat permohonan laluan persendirian dari lot 3311 ke jalan Kuala Pilah-Bahau sepanjang 50 meter untuk ke tiga kediaman bernombor 46, 46A dan 46B kepada pihak berkaitan pada tahun ini.

Menurutnya, buat masa ini, dia mengikut laluan pemilik tanah lot 1285 untuk keluar dan masuk berjalan kaki ke Kuala Pilah-Bahau kerana laluan terbabit terlalu kecil dan tidak boleh dilalui kenderaan seperti kereta mahupun motosikal.

“Kami sangat memerlukan laluan persendirian seperti orang lain yang mendapat faedah hak laluan berkenaan bagi memudahkan segala urusan, terutama ketika waktu-waktu kecemasan.

“Apabila berlaku kematian di kawasan ini, kami sukar membawa jenazah ke tanah perkuburan. Malah, ambulans juga tidak dapat masuk,” katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, baru-baru ini.

Lebih menyukarkan apabila penduduk tiada laluan lain setelah pemilik berhampiran membina pagar, malah masalah itu sudah berlarutan hampir belasan tahun.

Mohammad Yusof berkata, mereka juga terpaksa mengambil risiko kecurian dengan meletakkan kereta di tepi jalan Kuala Pilah-Bahau dan pelbagai aktiviti harian seperti menjual dan mengangkut tong gas, mengambil dan menghantar anak ke sekolah, terganggu akibat masalah itu.

“Justeru, saya berharap pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah itu dengan menyediakan laluan persendirian demi kesejahteraan kami dan memudahkan segala urusan,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9328421.asp

Wednesday 13 July 2011

Tingkat komponen kecergasan

MELANG – Penglibatan belia dalam program kejohanan sepak takraw, futsal lelaki dan wanita Liga Sukan Untuk Semua 2011 mampu meningkatkan komponen kecergasan keseluruhan termasuk aspek kecergasan.

Pegawai Belia dan Sukan daerah, Suhailah Mohd Sa’at berkata, bagi membudayakan Malaysia Cergas, Sihat dan Bersatu, belia didedahkan dengan program berbentuk kecergasan serta merupakan salah satu aktiviti di bawah program ini.

“Kita terbuka kepada seluruh peringkat umur dan jantina supaya mereka dapat meningkatkan pendayaupayaan komuniti setempat.

“Di samping itu, kita juga dapat melatih masyarakat tempatan dalam melaksanakan aktiviti sukan pada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sukan Untuk Semua yang diadakan di Kompleks Rakan Muda Melang, baru-baru ini.

Menurutnya, salah satu objektif program itu diadakan adalah untuk meramaikan bilangan masyarakat ke arah peningkatan kualiti hidup melalui strategi ’Sukan Untuk Semua’ dan pengenalan kepada konsep Malaysia Cergas.

“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk menarik golongan belia berkumpul tetapi melalui acara sukan, kita dapat menghimpunkan belia ini dalam satu tempat sekali gus memeriahkan suasana di sini sepanjang masa.

“Selain itu, ia juga dapat mewujudkan satu masyarakat sihat, cergas dan ceria bagi menuju Wawasan 2020 serta mewujudkan satu masyarakat ‘peserta’ dan bukan ‘penonton’,” katanya.

Sementara itu, katanya, para belia dapat mencapai kesihatan dan kecergasan fizikal serta kesejahteraan mental untuk meningkatkan perasaan muhibah dalam kalangan mereka dalam pelbagai sukan.

Dalam pada itu :Sinar Harian turut difahamkan, sebanyak 35 pasukan futsal lelaki, 5 pasukan futsal wanita dan 22 pasukan sepak takraw dipertandingkan bagi merebut piala pusingan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah.

Keputusan futsal lelaki, johan dimenangi oleh pasukan Jemapoh Futsal, johan futsal kategori wanita pula diungguli oleh Redah FC dan sepak takraw dimenangi pasukan Batang Pilah.

Hadir sama program itu, ADUN Pilah, Adnan Abu Hassan.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9325696.asp

Monday 11 July 2011

Pengalaman yang ditunggu

KUALA PILAH - “Saya amat teruja untuk menyertai kursus berkenaan kerana ia adalah pengalaman pertama saya mengenali Skuad Muda Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang sebelum ini hanya sekadar dengar daripada mulut rakan-rakan,” kata salah seorang daripada 70 pelajar dari tiga sekolah menengah dan sebuah institusi yang mengikuti Kursus Asas Pengenalan Rela sebagai ahli Skuad Muda Rela Kuala Pilah, dekat sini.

Nur Fatin Izzati Menon, 18, dari Sekolah Sukan Negeri Sembilan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba berkata, dia seolah-olah terpanggil untuk menyertai skuad itu disebabkan pelbagai manfaat yang bakal diperoleh selepas menjadi ahli Rela.

“Selepas mendengar penerangan yang terperinci daripada pihak berkaitan, ia memberi satu semangat dan platform untuk saya berbakti kepada masyarakat dan negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Taklimat Skuad Muda Rela Kuala Pilah di Pejabat Belia dan Sukan di Kompleks Rakan Muda, Melang.

Hadir sama, Pegawai Rela daerah, Hassan Mohd Yusoff dan Pegawai Belia dan Sukan, Suhailah Mohd Sa’at.

Difahamkan, sekolah yang terlibat adalah SMK Dato Abd Samad, SMK Tuanku Muhammad dan Institusi Teknologi Yayasan Negeri Sembilan (ITYNS).

Nur Fatin Izzati berkata, selepas dipilih menjadi ahli, dia akan menyertai kursus seperti latihan menembak, pembinaan sahsiah diri dan kesukarelawanan.

“Sememangnya ia akan memberi peluang untuk saya bergaul dengan masyarakat selain memiliki keyakinan diri tinggi.

“Kami juga berusaha akan menjadi mata dan telinga pihak berkaitan dalam membanteras jenayah jalanan mahupun yang berkaitan bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Murtadha Zamri, 18, dari ITYNS berkata, Skuad Muda Rela mempunyai keupayaan tenaga muda dan semangat kesukarelawan yang tinggi.

Menurutnya, penubuhan skuad ini dapat membantu mengurangkan jenayah melibatkan belia.

“Kami juga berperanan membantu pihak penguat kuasa seperti polis dan imigresen mencegah jenayah,” katanya. sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9321780.asp

Tiada khidmat bas ke hospital

KUALA PILAH – Penduduk sekitar di sini memohon kepada pihak berkaitan untuk menyediakan pengangkutan bas khas untuk berulang alik dari Pekan Pilah ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

Ini kerana rata-rata penduduk yang tinggal di kampung tidak mempunyai kemudahan pengangkutan terutamanya warga emas.

Naib di-Pertua Pas kawasan, Abdul Karim Shahimi Abd Razak berkata, masalah ketiadaan pengangkutan khas menuju ke hospital membebankan masyarakat.

“Ada di antara mereka perlu membuat rawatan susulan setiap minggu dan ke hospital atas sebab-sebab tertentu.

“Saya lihat, adalah wajar pihak berkenaan menyediakan bas khas untuk golongan itu supaya dapat mengurangkan beban mereka. Mereka juga tidak perlu lagi menaiki kereta sewa yang sudah tentu harganya jauh lebih mahal berbanding menaiki bas,” katanya.

Sehubungan dengan itu, atas kelewatan masa masa untuk menunggu bas membuatkan penduduk kecewa.

“Bas yang lewat tiba di perhentian bas sudah menjadi kebiasaan buat penduduk di sini. Kadang-kala mereka terpaksa menunggu hampir sejam dan terpaksa menaiki pengangkutan lain untuk ke hospital mahupun ke tempat lain.

“Masalah ini perlu diberi perhatian agar ia mendapatkan kesejahteraan kepada semua pihak. Mungkin cadangan menyediakan bas khas ke hospital dapat melegakan hati penduduk di sini,” katanya.

Malah katanya, atas sebab kekangan kewangan, ada segelintir daripada mereka terpaksa menunggu anak pulang atau menyewa kereta dengan jiran untuk ke hospital.

“Di kampung, kemudahan bas tidak disediakan. Justeru, inisiatif menyewa kereta jiran lebih murah berbanding kereta sewa.

“Perkara ini sudah menjadi kelaziman penduduk di sini. Namun, sampai bila mereka harus bertahan? Sedangkan di negeri lain, pihak kerajaannya telah pun menyediakan bas khas ke hospital bagi memudahkan rakyat. Saya harap pihak berkenaan dapat mempelbagaikan kemudahan di sini,” katanya
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9318195.asp

Friday 8 July 2011

Janjikan pulangan

BETING – Penanaman pokok kayu jati menjanjikan pulangan besar kerana tanaman berkenaan memberikan hasil lumayan apabila tiba tempoh matangnya.

Seorang pengusaha tanaman pokok jati, Anuar Bador, 58, berkata, hanya dengan sekali tanam pokok jati, hasilnya mampu dinikmati sehingga tujuh generasi.

Menurutnya, penanaman itu membuktikan kepada masyarakat ia mampu membantu meningkatkan ekonomi negara secara tidak langsung.

“Saya menceburi bidang pertanian ini pada 1997 sebagai tanda menyahut :saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menyeru semua rakyat agar menanam pokok jati dan pokok sentang sebagai bidang perniagaan menguntungkan.

“Memang diakui, penanaman pokok jati bukan sahaja menguntungkan, malah ia boleh menjadi satu ikon kepada produk perabot terkenal pada masa kini,” katanya ketika ditemui di ladang pokok jati seluas 6 ekar.

Anuar berkata, pelbagai halangan dan cabaran harus ditempuhi ketika hendak membawa masuk biji benih kayu jati sekitar 1997.

Menurutnya, dia membeli biji benih yang cukup terkenal dengan tanaman pokok kayu jati dari Indonesia.

“Pada mulanya, saya membuat semaian benih semasa bertapak di kampung Ulu Senaling, kemudian barulah dibawa ke sini.

“Ia tidak perlu dijaga dengan teliti, malah peratusan pokok mati juga tiada. Kita hanya perlu bekalkan semangat dan kesabaran yang tinggi kerana hasil yang diperoleh perlu mengambil tempoh lama,” katanya.

Dalam pada itu, Anuar berkata, berbekalkan keyakinan dan percaya kepada tanaman itu mendorongnya membuka bengkel pengusahaan produk kayu jati pada Mei lalu, di belakang halaman rumahnya.

Menurutnya, buat masa ini, beberapa produk dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan pelbagai pihak dan juga menerima tempahan daripada agensi kerajaan.

“Sehubungan itu, saya turut serta dalam pameran Karnival Keusahawanan Desa (KUD) 2011 yang diadakan baru-baru ini, sebagai satu platform serta membuka peluang saya menonjolkan kemahiran ukiran dan keunikan produk berkenaan,” katanya.

Difahamkan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Yunus Rahmat pernah melawat bengkel berkenaan.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9270364.asp

Thursday 7 July 2011

Pilihan pertama bukan terakhir

KUALA PILAH – Klinik keusahawanan berjaya menjadi pemangkin kepada semangat mahasiswa untuk menceburi bidang berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Usahawan negeri Majlis Amanah Rakyat (Mara), Adnan Jamaluddin berkata, penganjuran klinik itu bertujuan membuka minda peserta supaya memilih bidang usahawan sebagai pilihan pertama bukan terakhir.
Menurutnya, kebiasaannya, remaja tidak didedahkan dengan maklumat yang tepat berkenaan bidang itu.
“Mereka hanya berfikir, selepas tiada pekerjaan barulah mereka memilih bidang perniagaan sebagai kerjayanya.
“Pemikiran seperti ini perlu diubah sama sekali kerana keusahawanan banyak manfaatnya. Bumiputera harus membuka minda dan sentiasa berdaya saing dengan menghasilkan produk mengikut kehendak pasaran. Itulah perkara yang saya sampaikan kepada peserta,” katanya ketika ditemui pada program Klinik Keusahawanan di Mini Stadium Kuala Pilah.
Hadir sama, pengerusi program, Datuk Norhayati Omar.
Adnan berkata, peredaran zaman ke arah teknologi membuatkan penawaran kepada pekerjaan akan berkurangan.
“Saya bimbang apabila penawaran pekerjaan berkurang tetapi pada masa sama berlaku lambakan mahasiswa yang menganggur.
“Justeru, bagi mengurangkan kadar peratusan itu, mahasiswa perlu bersiap sedia dari sekarang untuk mengatur kerjayanya sebagai usahawan kerana pihak kerajaan sentiasa memberi peluang dan menghulurkan bantuan sekiranya mereka ingin menceburi bidang berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, mahasiswa juga perlu melakukan anjakan paradigma dan perubahan sikap bagi memastikan setiap peruntukan atau bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan tidak mengalami kerugian.
“Kadangkala kita melihat, peniaga bersungguh pada peringkat awal, tetapi lama-kelamaan ia tidak menjadi dan kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Oleh itu, pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa kepada penerima bantuan dari pihak Mara.
“Kita tidak mahu melahirkan output sahaja tetapi ingin menghasilkan usahawan berjaya,” katanya.
Katanya, pihak Mara sentiasa berusaha membuka minda usahawan bumiputera supaya lebih kreatif dalam menjana perniagaan hingga ke peringkat global.
“Dahulu Mara sering membantu usahawan dari segi kewangan dan kemahiran, kini kami mahu mendekati mereka dengan kaedah keusahawanan bagi menjana hasil yang lebih lumayan.
“Kita berusaha menggunakan kaedah yang produktif supaya usahawan bumiputera lebih berminat menceburi bidang keusahawanan,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9266677.asp

Tuesday 5 July 2011

Lantai masjid retak

GENTAM – Rata-rata kariah masjid, di sini melahirkan rasa kebimbangan apabila lantai di bahagian tengah masjid itu mengalami keretakan kira-kira 5.4 meter.

Mahmuda Aliman berkata, masjid itu mengalami pelbagai keretakan dan kerosakan.

Menurutnya, usia masjid itu memang sudah berpuluh-puluh tahun dan tidak hairanlah strukturnya tidak secantik dahulu.

“Apabila duduk di atas lantai, kita dapat merasai lantai itu senget ke kiri kerana sudah berlaku mendapan tanah.

“Masjid ini perlu dibaik pulih kerana sentiasa menjadi tumpuan orang ramai dan pelajar sekolah berhampiran untuk menunaikan ibadah. Kadangkala pelajar akan solat Jumaat di sini kerana lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata, keretakan pada bahagian bumbung, tiang, lantai dan tandas perlu dibaiki segera kerana semakin teruk.

“Tandas lelaki dan perempuan ada yang tidak boleh digunakan lagi. Apabila ia tidak berfungsi akan menimbulkan bau yang kurang selesa sekiranya orang luar tidak mengetahui masalah ini. Mereka perlu meletakkan notis pemberitahuan bahawa tandas itu rosak.

“Begitu juga dengan keretakan yang berlaku di kaki lima longkang bersebelahan tandas perempuan. Keretakan itu menunjukkan berlakunya pergerakan tanah. Jika dibiarkan ia akan senget dan runtuh tanpa disedari,” katanya.

Dalam pada itu, Mahmuda berkata, keselamatan jemaah perlu diberi keutamaan dan pihak berkenaan diminta melakukan siasatan sepenuhnya tentang struktur bangunan masjid itu.

“Saya bukan mahu menuding jari mana-mana pihak tetapi ia demi keselamatan jemaah. Tambahan pula, kita bakal menyambut Ramadan, sudah pasti masjid ini menjadi tumpuan orang ramai untuk menunaikan solat terawih dan mendengar ceramah agama.

“Selain itu, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sebagai pengisian Ramadan, di sini. Kita tidak mahu dalam kesibukan melakukan aktiviti, berlaku perkara yang tidak elok hingga menyebabkan kemalangan jiwa,” katanya.

Katanya, oleh itu, diharap pihak berkaitan dapat mengambil serius masalah ini demi kepentingan keselamatan jemaah, di sini.

“Sekiranya pihak menyatakan ia tidak selamat, notis penutupan masjid perlu diberikan supaya masyarakat umum dapat ketahuinya,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9263759.asp

Terokai pasaran

KUALA PILAH – Seramai 60 usahawan dari Zon Selatan iaitu Negeri Sembilan, Johor dan Melaka berhimpun dalam satu Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) 2011 bagi meluaskan jaringan perniagaan mereka.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Hasan Malek berkata, Mini KUD merupakan medium untuk usahawan luar bandar memasarkan produk dan jenama perusahaan mereka di kawasan bandar.

Menurutnya, inisiatif pengupayaan ekonomi KKLW telah melonjakkan produk usahawan luar bandar ke arah global melalui pemasaran produk berasaskan makanan.

“Kini, empat syarikat bumiputera bertapak kukuh di luar negara seperti New Zealand, Dubai, China, Indonesia dan Singapura.

“Semua usahawan luar bandar berkenaan telah mencapai piawaian antarabangsa seperti Halal, Hazard Analysis, Critical Control Points (HACCP), Good Manufacturing Practice (GMP) dan label,” katanya pada Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Mini Stadium Kuala Pilah, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hasan berkata, KKLW turut memasarkan projek kraf tangan Orang Asli Mah Meri dalam ekspo antarabangsa di Amerika Syarikat, Bangladesh dan Indonesia melalui program Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Katanya, pihaknya sentiasa menjalin kerjasama pintar dengan agensi lain seperti Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) bagi penerokaan pasaran dan peningkatan kualiti produk.

“Selain itu, ia dapat memperluaskan jaringan perniagaan usahawan luar bandar melangkah ke dunia perniagaan sebenar.

“Malah, pihak kerajaan sentiasa mengambil langkah wajar untuk mengukuhkan keupayaan usahawan melalui bimbingan dan insentif dibawa agensi yang bertanggungjawab bagi menangani masalah mereka dengan menyediakan bantuan sumber kewangan atau melengkapkan kemahiran,” katanya.

Justeru, beliau berharap, usahawan perlu pandang ke hadapan dan berfikiran terbuka dengan merebut peluang yang diberikan kepada pihak berkaitan.

“Di samping itu, usahawan juga perlu memiliki daya tahan dan daya saing yang tinggi supaya mampu bersaing dengan usahawan dari luar,” katanya
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9260624.asp

Sunday 3 July 2011

Rumah tiada bekalan elektrik

KEPIS HULU – Seorang wanita yang sarat mengandung terpaksa mendiami rumah mesra rakyat dalam keadaan tidak selesa di Kampung Baru Air Lesung, dekat sini berikutan ketiadaan bekalan elektrik.

Norhamidah Roslan, 23, mengandung anak kedua yang kini berusia tujuh bulan terpaksa menanggung derita semasa cuaca panas pada sebelah siang.

“Rumah mesra rakyat ini baru dibina tiga tahun lalu. Saya bersama suami dan anak lelaki berusia tiga tahun terpaksa mengharungi kepaya-han hidup kerana tiada beka-lan elektrik.

“Kadang-kadang timbul juga rasa bimbang kerana kedudukan rumah agak jauh selain berhampiran kawasan perladangan pokok getah. Saya risau dengan keselamatan diri dan anak yang masih kecil. Bila suami bekerja saya dan anak duduk di rumah tinggal berdua tanpa bekalan elektrik,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Norhamidah berkata, rumah tersebut dibina di bawah projek Skim Perumahan Mesra Rakyat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) tidak dilengkapi beka-lan elektrik disebabkan ketiadaan tiang elektrik di kawasan berdekatan.

“Pihak berkenaan memberi alasan kedudukan rumah saya terletak jauh dari jalan utama menyebabkan sukar menyediakan bekalan elektrik,” katanya.

Berikutan itu, katanya, pada waktu malam, mereka sekeluarga terpaksa menggunakan jenerator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

“Tetapi sejak harga bahan bakar naik, kami terpaksa berjimat akibat kekangan wang. Setiap hari saya akan berulang alik menumpang tidur di rumah emak kerana mereka bimbang keadaan saya yang ketika ini mengandung.

“Pendapatan suami saya juga tidak seberapa kerana dia bekerja kampung,” katanya.

Norhamidah berkata, selain dirinya, terdapat dua lagi penduduk yang menerima nasib sama dengannya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9257481.asp