Wednesday 24 August 2011

Peluang pelatih PDK berdikari

JUASSEH – Pelbagai gelagat dapat dilihat apabila 21 pelatih orang kurang upaya (OKU) Pusat Dalam Komuniti (PDK) Juasseh diberi peluang memilih baju raya disalah sebuah pusat beli-belah dekat sini, kelmarin.

Program anjuran PDK itu yang menerima peruntukan daripada Adun Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail sudah pasti memberi kegembiraan buat pelatih kerana dapat memilih pelbagai corak dan warna pakaian sendiri sempena Aidilfitri ini.

Penyelia PDK Juasseh, Azimah Baharum, 33, berkata, aktiviti seperti ini memang diadakan setiap tahun bagi memberi keceriaan kepada pelatih untuk merasai kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Mereka dibawa ke pasar raya dekat sini dengan tujuan merasai pengalaman sendiri memilih baju raya mengikut cita rasa masing-masing sambil dibantu oleh pekerja PDK.

“Melalui pengalaman ini, mereka boleh berdikari dengan membuat keputusan sendiri dan meningkatkan keyakinan berkomunikasi dengan masyarakat luar. Pendedahan ini juga mampu memberi 1001 pengalaman berharga buat mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama, Pengerusi PDK Juasseh, Mariah Abu@Ahmad.

Azimah berkata, pihaknya amat berbesar hati dan bersyukur kerana nasib kanak-kanak di PDK mendapat perhatian pemimpin kawasan dan Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah, ini semua rezeki Ramadan. Mereka sangat seronok dan saya berharap Aidilfitri kali ini memberi seribu satu kegembiraan kepada mereka.

“Program seperti ini memberi impak yang besar apabila pelatih diberi pendedahan kepada dunia luar. Mereka bukan sekadar hidup dalam dunia mereka sahaja tetapi dapat bergaul mesra dengan orang luar sekali gus menyatakan kebajikan mereka tidak diabaikan,” katanya.

Katanya, ibu bapa pelatih turut sama membantu anak masing-masing memilih pakaian.

“Bukan selalu dapat peluang macam ini sebab kami tidak mampu untuk berbelanja besar. Dengan sumbangan yang dihulurkan, Insya-Allah kebajikan mereka terus diberi perhatian oleh pihak berkaitan,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9459288.asp

Sunday 21 August 2011

Surau baru mercu penyatuan

JOHOL – Harapan orang-orang adat di Luak Johol, di sini, untuk menunaikan ibadah dengan lebih selesa tercapai apabila surau baru yang didirikan siap dibina di Balai Undang Luak Johol.

Surau yang telah diberi nama Al-Ikhlas itu menelan belanja RM195,000 peruntukan daripada Projek Infrastruktur Awam (PIA) 2011, Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan.

Ia di bawah Unit Penye-larasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

Pembinaan surau itu dilakukan secara berperingkat yang mana meliputi dewan solat utama yang boleh menampung kira-kira 180 jemaah dalam satu-satu masa.

Surau itu, dirasmikan Undang Luak Johol, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani.

Timbalan Pegawai Tanah Daerah, Mohd Aminoddin Othman berkata, surau tersebut telah dibina pada 9 Mei hingga 1 Ogos siap sepenuhnya.

“Alhamdulillah, surau ini akhirnya siap dalam tempoh 12 minggu. Saya benar-benar mengharapkan agar surau itu nanti akan menjadi mercu tanda penyatuan dan perpaduan masyarakat di samping menjadi pusat untuk mendalami ilmu-ilmu agama.

“Ilmu agama sentiasa dititikberatkan tidak kira masa. Banyakkan ceramah dan kuliah agama di sini agar kita dapat mengimarahkan surau di dalam perkarangan Balai Undang Johol,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian surau Al-Ikhlas, dan pemberian sumbangan kepada 95 anak yatim di Dun Johol.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawabnya merealisasikan harapan penduduk di sini untuk mempunyai sebuah surau yang akan menjadi nadi dan jantung kehidupan bermasyarakat di sini.

“Alhamdulillah dengan peruntukkan yang diberikan, surau ini telah tersergam indah.

"Apabila ruang sudah luas, pelbagai aktiviti dapat dijalankan dengan jayanya.

“Sehubungan itu juga, surau ini dapat membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan tempat dan kemudahan untuk beribadat yang selesa kepada penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, surau itu diserikan dengan aktiviti kelas bacaan al-Quran pada waktu petang, kuliah agama dan pelbagai pengisian lain, sekali gus memberi manfaat.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9453061.asp

Thursday 18 August 2011

Pekida bukan gengster

JUASSEH – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) menafikan ahli pertubuhan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster.

Penasihat Pekida Kuala Pilah, Abdul Razak Zainal berkata, seramai 4,000 ahli Pekida daerah Kuala Pilah tidak terlibat dengan perkara yang boleh merosakkan nama atau imej pertubuhan itu.

“Pekida bukan kumpulan gengster, kami berdaftar dan mempunyai kad keahlian tersendiri.

Beza ahli Pekida dengan bukan ahli Pekida berdasarkan kepada kad keahlian.

“Kami menjalankan amal kebajikan untuk mereka memerlukan di samping membantu mana yang perlu di samping menghulurkan tenaga untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan masyarakat juga tidak pernah dilupakan,” katanya.

Abdul Razak ditemui di Masjid Kariah Pasir Ambor pada majlis berbuka puasa dan menghulurkan sumbangan kepada 10 ibu tunggal, dekat sini.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, ahli Pekida berbeza dari segi pengenalan diri melalui salam kepada ahli lain.

“Jika mereka bukan ahli Pekida, sudah pasti mereka tidak tahu rahsianya dan penapisan untuk menjadi ahli juga akan dilakukan.

“Ada laporan diterima mengatakan bekas ahli Pekida yang telah dilucutkan keahliannya menyalahgunakan kad keahlian tersebut dengan menjaja dan mempergunakan kad keahlian bagi tujuan jenayah. Memang sukar untuk bezakan mereka itu ahli ataupun tidak melainkan mempunyai resit pembayaran yuran tahunan,” katanya yang kesal sesetengah pihak mengaitkan Pekida dengan kumpulan gengster.

Selain itu, Abdul Razak turut menjelaskan perjuangan Pekida sebenar dan kepentingannya kepada masyarakat awam sekali gus merungkaikan kekeliruan sesetengah pihak.

“Sebelum diiktiraf menjadi ahli Pekida, individu perlu melakukan sumpah baiah (ikrar taat setia) menjaga adat, keturunan, budaya, agama, bangsa dan negara. Gelaran ‘Kumpulan 30’ itu sebenarnya diambil daripada jumlah 30 juzuk al-Quran, membawa maksud kami berjuang berlandaskan agama.

“Selain menganjurkan kerja dan usaha amal kebajikan berfaedah untuk ahli dan masyarakat. Justeru itu, buat julung kalinya, Pekida daerah Kuala Pilah mengadakan majlis berbuka puasa bersama masyarakat kampung dalam usaha mendekati ahli Pekida dengan mereka,” katanya daripada kumpulan 30.

Katanya, pertambahan ahli Pekida bagi tahun 2011 sebanyak 200 orang termasuk lelaki dan perempuan.

“Biasanya Pekida Kumpulan 30 akan mengambil remaja 20 tahun dan ke atas kerana pada usia sebegini mereka sudah matang serta boleh berfikir secara matang.

“Mereka juga sudah tahu bezakan perkara buruk dan baik demi menjaga imej pertubuhan ini. Saya berharap ahli yang telah keluar dari pertubuhan, jangan mengambil kesempatan atas nama Pekida untuk melebarkan kuasa dan pengaruhnya. Ini boleh merosakkan imej Pekida itu sendiri,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9439923.asp

Wednesday 17 August 2011

Pekida terus sokong Umno

JUASSEH – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Amar Makruf Nahi Mungkar, terus menyokong Umno sebagai parti yang bernaung di bawah Barisan Nasional (BN).

Penasihat Pekida daerah Kuala Pilah, Abdul Razak Zainal berkata, Pekida sentiasa berada di belakang Umno dalam usaha memartabatkan bangsa Melayu mengenai perjuangan dan jati diri Melayu.

“Kami akan bersatu di bawah satu wadah perjuangan untuk mempertahankan agama bangsa dan negara. Selagi agama Islam menjadi pegangan kerana itulah kita perlu bersatu walaupun berbeza pendapat.

“Jangan ada perpecahan berlaku antara orang Melayu kerana kita berpegang kepada agama Islam yang satu. Justeru, saya menyeru agar bangsa Melayu perlu mengukuhkan perpaduan demi kelangsungan generasi muda akan datang,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Penyampaian Bantuan dan Berbuka Puasa di Masjid Kariah Pasir Ambor.

Majlis anjuran Pekida daerah Kuala Pilah itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek; Adun Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Ambor, Alias Dolah.

Abdul Razak berkata, majlis itu adalah satu pertemuan antara orang kampung dan ahli-ahli Pekida.

“Selama ini, Pekida hanya bergerak sendiri sahaja tetapi kali ini, kita libatkan pula orang kampung bagi merapatkan hubungan silaturahim.

“Kita melakukan gotong-royong untuk masak juadah berbuka puasa. Saya rasa pendekatan ini lebih baik untuk Pekida mendekati orang kampung,” katanya.

Beliau berkata, majlis penyampaian itu juga bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan di samping melakukan aktiviti kebajikan di kawasan tersebut.

“Ia dilakukan demi kesejahteraan masyarakat kampung yang kurang bernasib baik. Pihak kami menyediakan barang keperluan harian agar golongan ini dapat merasai kenikmatan hidup duniawi.

“Senarai nama penerima diperoleh daripada JKKK Pasir Ambor. Penerima ini sememangnya yang layak diberikan bantuan kerana kebanyakan adalah ibu tunggal,” katanya.

Sementara itu, penerima, Norian Abas, 58, berkata, bantuan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak meringankan bebanan yang terpaksa ditanggungnya.

“Walaupun sudah berkahwin, namun tidak dikurniakan anak malah lebih perit apabila suami meninggal dunia beberapa tahun lalu.

“Saya tinggal seorang diri, namun kini menumpang kasih di rumah saudara terdekat di sini,” katanya.

Katanya, kini dia juga mengalami sakit lutut hingga terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9437197.asp

Tuesday 16 August 2011

Khatam dalam masa singkat

KUALA PILAH – Hanya dalam masa 1 jam 30 minit, 150 peserta berjaya khatam ayat suci al-Quran 30 juzuk pada Majlis Tadarus Al-Quran Perdana peringkat Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Pilah di Surau Al-Wahdah.

Majlis yang pertama kali diadakan itu dianjurkan oleh Persatuan Keluarga Polis (Perkep).

Pengerusi Perkep, Norra Baharam berkata, kekangan masa dan jadual tugas yang padat anggota polis mendorong Perkep menganjurkan majlis itu kerana ia dapat mengumpulkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu majlis.

Menurutnya, majlis itu juga memberi kesan yang bermakna kepada semua peserta kerana dapat berhimpun untuk khatam al-Quran bersama-sama.

“Semua peserta dibahagikan kepada 30 kumpulan mengikut umur dan gender.

“Jika sebelum ini, kita sering menghadapi masalah menghabiskan bacaan dalam tempoh ditetapkan, jadi Perkep merasakan perlu ada satu program khusus untuk kita sama-sama khatam al-Quran pada tempoh yang pendek,” katanya.

Hadir sama, Adun Pilah, Adnan Abu Hassan; Pengerusi Perkep Negeri Sembilan, Datin Halijah Mohd Rasid dan Ketua Polis daerah, Superintendan Jaafar Baba.

Norra berkata, majlis itu juga dapat membuka peluang kepada peserta yang belum pernah mengikuti tadarus al-Quran.

“Malah lebih menarik lagi, tadarus ini turut menggabungkan peserta dari kalangan ahli Perkep Kontinjen Negeri Sembilan dan warga IPD Kuala Pilah.

“Penggabungan ini memeriahkan lagi suasana tadarus selain menambah keyakinan kepada peserta dalam menghayati bacaan ayat suci al-Quran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran majlis berkenaan secara tidak langsung dapat memupuk semangat cintakan ayat suci al-Quran dan mengimarahkan surau pada Ramadan.

“Kesedaran masyarakat tentang kepentingan pendidikan al-Quran penting dan kita perlu menyemarakkan lagi semangat cintakan al-Quran dalam kalangan umat Islam melalui program seperti ini,” katanya.

Katanya, penyatuan umat Islam dapat dikekalkan dengan mengembalikan semangat dan mukjizat al-Quran sebagai kitab suci sekali gus menjulang keagungan kalimah ALLAH SWT.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9434283.asp

Monday 15 August 2011

Tuanku Ampuan lawat HTAN

KUALA PILAH – Kelahiran cahaya mata pertama merupakan saat berharga buat pasa-ngan Faizul Leman dan isteri Siti Aida Saharun, 22, selepas mendirikan rumah tangga pada 13 Februari tahun lalu.

Kegembiraan pasangan ini ditambah apabila menerima kunjungan daripada Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud yang mencemar duli ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Turut berangkat, dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-Abidin.

Hadir sama, Pengarah HTAN, Dr Mohd Shah Datuk Idris, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba dan kakitangan HTAN.

Aida, berkata, perasaan gembira sukar digambarkan sebaik menerima kunjungan daripada Tunku Ampuan Besar kerana kesudian Tuanku Aishah mencemar duli di hospital berkenaan.

“Saya juga sangat terharu atas cenderahati diberikan. Perasaan saya sekarang, tentulah gembira dan lega setelah selamat melahirkan anak pertama secara normal pada 13 Ogos 2011, jam 9.30 pagi.

“Walaupun ini pengalaman pertama saya, Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi. Selepas mendengar tangisan bayi sebaik ia dilahirkan, semua rasa sakit hilang begitu sahaja,” katanya ketika ditemui di wad kanak-kanak.

Dia yang berasal dari Kampung Palong, Bahau berkata, segala pengetahuan menghadapi situasi bersalin ini diperoleh melalui bahan bacaan selain individu berpengalaman.

“Saya melahirkan secara normal kerana proses semula jadi ini membuatkan saya menjadi tenang dan berfikiran terbuka lebih-lebih lagi menerima sokongan dari suami,” katanya.

Dalam pada itu, Aida memberitahu, akan berpantang di rumah ibunya di Palong sebelum pulang ke Melaka.
Jawatan Kosong

Thursday 11 August 2011

JHEAINS serbu gerai dibuka pagi

JOHOL – Seorang tauke kedai makan dan pekerjanya terkejut apabila kedainya diserbu Bahagian Penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Kuala Pilah di Kampung Ulu Inas, semalam.
Serbuan yang dilakukan kira-kira 11.50 pagi itu juga berjaya menahan individu yang leka menghisap rokok.
Hasil siasatan dan pemeriksaan aduan daripada orang ramai mendapati, kedai terbabit beroperasi seawal 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, hasil siasatan mendapati kedai kopi itu beroperasi pada awal pagi.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan keraguan dan perasaan kurang menyenangkan orang ramai yang lalu lalang di sini setiap hari.
“Jika mereka hendak berniaga tidak salah tetapi perlu menjual makanan atau minuman kepada orang Islam di siang hari pada Ramadan.
“Itu adalah satu kesalahan kerana menggalakkan orang Islam datang ke sini untuk membeli makanan tanpa mempedulikan khalayak ramai yang lalu lalang di situ,” katanya.
Ahmad Zaki berkata, tauke kedai dan pekerjanya yang berusia 49 tahun dan 35 tahun itu di saman dan diperintahkan hadir ke pejabat Agama Islam Kuala Pilah untuk siasatan lanjut pada keesokan harinya (hari ini).
“Mereka disyaki atas kesalahan makan, minum, menghisap sebarang tembakau atau seumpamanya pada waktu berpuasa.
“Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga bulan mengikut seksyen 114 (2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, tauke kedai itu turut disabitkan atas kesalahan mengikut seksyen 114 (1) iaitu menjual atau memberi kepada orang yang beragama Islam sama ada makanan dan minuman untuk dimakan atau diminum serta-merta pada Ramadan.
“Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya.
Katanya, kedai berkenaan akan dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelakkan mereka beroperasi pada awal pagi.
“Orang ramai juga dialu-alukan memberi kerjasama kerana aduan mereka banyak membantu kami dalam mengekang kesalahan jenayah syariah,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9419291.asp

Wednesday 10 August 2011

Kereta langgar dinding rumah

KUALA PILAH – Empat beradik yang leka menonton televisyen petang kelmarin, menghadapi detik cemas apabila sebuah kereta melanggar dinding rumahnya di Kilometer (KM) 3 Jalan Kuala Pilah - Bahau di Kampung Kuala Gentam.
Nor Shahirah Abdullah, 16, bersama adiknya, Nor Shahidah Ramli, 14; Nor Shakimi Ramli, 10 dan Nor Shaliah, 9, terkejut apabila mendengar dentuman kuat dari luar rumah kira-kira jam 3.30 petang.
Nor Shahirah berkata, ketika itu dia sedang menonton televisyen bersama adik-adiknya sementara ibu mereka bekerja di sebuah stesen minyak berhampiran rumah.
Menurutnya, mereka dikejutkan dengan dentuman kuat dari luar hingga menyebabkan dinding rumah di bahagian ruang tamu pecah.
“Saya bergegas keluar rumah dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira terperosok dan melanggar dinding selepas merempuh pagar rumah.
“Saya dan adik membantu mangsa cedera. Orang ramai yang kebetulan lalu turut menghulurkan bantuan. Terdapat enam orang di dalam kereta itu dan pemandu serta penumpang di bahagian hadapan cedera akibat terkena serpihan kaca bahagian depan kereta manakala penumpang lain cedera ringan,” katanya.
Sementara menurut ibu Shahirah, Roslina Rosli, 36, dia hanya mendapat tahu rumahnya dilanggar kereta setelah diberitahu rakan sekerja.
Menurutnya, rumahnya berhadapan dengan tempat kerja dan setelah dimaklumkan rakan setugas, dia terus bergegas ke rumah serta terkejut melihat rumah teruk dilanggar kereta.
“Saya dimaklumkan oleh saksi bahawa Proton Wira itu terbabas setelah mengelak bas yang memberhentikan penumpang dari arah Bahau.
“Pada masa sama, sebuah lori dari arah sama tidak sempat menekan brek lalu melanggar Proton Wira yang berada di hadapannya manakala kereta itu pula cuba mengelak dari melanggar bas lalu terbabas ke kiri jalan hingga melanggar rumah saya,” katanya.
Roslina yang juga seorang ibu tunggal berkata, bersyukur kerana anak-anaknya terselamat, namun sedih melihat rumahnya yang rosak teruk.
“Aidilfitri tahun ini nampaknya terpaksa disambut ala kadar setelah melihat keadaan rumah yang rosak.
“Buat masa ini saya akan memasang kanvas bagi menggantikan dinding kerana bimbang dimasuki hujan. Saya reda dengan dugaan ini dan bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9416265.asp

Tuesday 9 August 2011

Jangan sia-siakan Orang Asli

JOHOL – Seramai 191 Orang Asli mualaf di daerah Kuala Pilah memerlukan sokongan dan perhatian khusus dalam mendalami agama Islam.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Hasan Malek berkata, sokongan daripada pihak berkaitan dan badan bukan kerajaan diperlukan bagi memastikan golongan itu tidak diabaikan.

Menurutnya, daripada jumlah 191 itu, lima Orang Asli sudah memeluk agama Islam dari Januari hingga Jun 2011 di Kuala Pilah begitu juga dengan daerah Tampin.

“Jumlah ini menunjukkan semakin ramai masyarakat Orang Asli dibuka pintu hatinya untuk memilih Islam sebagai agama rasmi mereka.

“Justeru, kita janganlah sia-siakan mereka, sebaliknya menerima golongan ini sama seperti masyarakat lain,” katanya ketika ditemui pada program Ihya Ramadan Saudara Baru Orang Asli anjuran Pusat Dakwah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Sembilan (Jakoa) di Masjid Kariah Gating.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri, Johani Hassan.

Hasan berkata, program itu turut menyalurkan bantuan kepada saudara baru dengan jumlah 170 penerima dan setiap keluarga diberi RM300.

“Wang itu diberikan kepada mereka sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Diharap ia dapat meringankan beban mereka sekali gus dimanfaatkan untuk keperluan menyambut Aidilfitri nanti,” katanya.

Hasan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, dalam arus pembangunan, masyarakat Orang Asli sentiasa diberi keutamaan.

“Pihak KKLW sentiasa menitikberatkan soal infrastruktur kawasan luar bandar termasuklah penempatan Orang Asli.

“Bantuan baik pulih dua rumah Orang Asli di Kampung Langkap, Dangi sudah diluluskan. Bagi Kampung Tering dan Kampung Air Terom hanya sebuah rumah,” katanya.

Sementara itu, penerima, Satimah Ansang, 52, berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan di atas keprihatinan kepada kami.

“Selama enam tahun saya memeluk Islam, pihak Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan sentiasa memberi tunjuk ajar untuk mendalami ilmu fardu ain dan asas agama,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9412824.asp

Sunday 7 August 2011

Penumpang belakang maut

JOHOL – Seorang remaja lelaki yang juga penumpang di bahagian belakang maut apabila kereta Proton Iswara yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 17 Jalan Tampin-Kuala Pilah kira-kira jam 4.35 petang, kelmarin.

Manakala pemandu dan dua lagi penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk mendapat rawatan.

Pemandu lori, Osman Karim, 50, berkata, ketika tiba di selekoh Kampung Tering, dia sempat menekan brek lorinya, namun tetap melanggar dengan kereta itu yang melintang di tengah jalan.

Menurutnya, dia dari bengkel yang terletak di Renggoh untuk ke Kuala Pilah. Walau bagaimanapun, ketika tiba di selekoh itu, dia nampak kereta itu hilang kawalan dan masuk arah bertentangan.

“Saya cuba mengelak tetapi tidak berjaya lalu terlanggar bahagian sisi kiri belakang kereta berkenaan.

“Saya percaya, seorang penumpang bahagian belakang kanan tercampak ke dalam semak, manakala seorang lagi terperosok di kerusi belakang. Pemandu cedera parah dan seorang perempuan yang berada di kerusi hadapan cedera,” katanya.

Katanya, dia dan dua kelindan hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara dari arah Kuala Pilah menghala ke arah Tampin hilang kawalan semasa melalui selekoh.

Menurutnya, selepas itu, kereta berkenaan terbabas ke kanan dan berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, lori yang datang dari arah Tampin menghala ke Kuala Pilah tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta mangsa. Akibat rempuhan itu, kereta berkenaan terbabas ke dalam semak dan remuk di bahagian sebelah kiri.

“Mangsa yang meninggal dunia dikenali Abdullah Hinmi Md Hashim, 17, beralamat Kuala Sungai Tebong Melaka kerana mengalami cedera di bahagian kepala dan badan,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9403722.asp

Friday 5 August 2011

Terpaksa pekakkan telinga

KUALA PILAH – Rata-rata pengunjung dan peniaga berhampiran Kampung Dioh, resah apabila sebuah premis di tingkat atas bangunan bank, di sini dijadikan sarang ternakan burung layang-layang atau walit.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi itu mendapati, keadaan bunyi bising terutamanya pada waktu pagi dan lewat petang membuatkan pengunjung tertekan, manakala peniaga pula terpaksa memekakkan telinga mengharungi senario itu setiap hari.
Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Kamariah, 19, berkata, pada mulanya dia hanya menganggap bunyi bising itu sebagai perkara remeh dan tidak menghadapi sebarang masalah dengan senario berkenaan.
Menurutnya, namun senario itu tidak menyenangkan sesetengah pihak, terutamanya bagi peniaga yang sentiasa berada di kawasan itu setiap hari.
“Malah, jika difikirkan tidak wajar bangunan ini dijadikan tempat ternakan burung walit kerana ia menjadi tumpuan orang ramai selain berhampiran dengan rumah penduduk,” katanya.
Secara umumnya, ramai pengusaha sarang burung walit sanggup menyewa atau membeli deretan bangunan semata-mata untuk dijadikan premis bagi haiwan berkenaan membuat sarang berikutan industri itu dikatakan menguntungkan.
Manakala, Muhamad Ismail Ali, 40, berkata, walau bagaimanapun menternak burung walit di tempat itu tidak bersesuaian kerana berdekatan dengan tempat tumpuan orang ramai.
“Mereka perlu membuat di tempat lain yang tidak ramai penduduk kerana itu lebih selamat. Bukan dibina di tengah pekan ini.
“Jika dibiarkan sahaja tanpa ada sebarang tindakan, bimbang kawasan ini diganggu pencemaran bunyi,” katanya.
Katanya, kegiatan menternak burung walit itu masih di peringkat awal dan boleh diselamatkan dengan berpindah ke tempat lain.
“Saya sentiasa lalu di sini, bunyi kuat daripada rakaman suara burung yang dipasang di situ memang mengganggu.
“Oleh itu, diharap pihak berkaitan dapat menimbal balik dan melihat masalah ini dari sudut orang ramai serta di sekitar peniaga sekali gus membantu menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9401203.asp

Wednesday 3 August 2011

Tandas, ruang solat terbiar

JOHOL – Kemudahan Hutan Lipur Gua Batu Maloi, Kampung Tanggai, Air Mawang, dekat sini yang terbiar dan tidak dipantau secara menyeluruh oleh pihak berkaitan menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan pengunjung.

Pemandu pelancong, Mohd Nazri Abdullah, 54, berkata, jumlah pelancong pada Januari hingga Julai tahun ini mencecah 5,000 orang sekali gus memberi gambaran bahawa Gua Batu Maloi adalah satu produk pelancongan yang sangat terkenal dan sering dikunjungi.

Menurutnya, setiap minggu, ada sahaja pelancong berkunjung ke sini dengan majoriti 40 hingga 50 orang.

“Aktiviti di sini memang mencabar kerana tempat ini menjanjikan pelbagai pengalaman yang berharga kepada pencinta gua.

“Meskipun menjadi tumpuan orang ramai, tetapi saya rasa sedih dan kecewa apabila kemudahan seperti tandas serta ruang solat tidak diselenggarakan dengan sempurna,” katanya.

Mohd Nazri berkata, masalah gangguan air juga sering berlaku di sini sehingga menyebabkan pengunjung melahirkan rasa tidak senang.

“Begitu juga dengan ruang solat yang dipenuhi lumpur dan rosak. Lumpur tidak dibersihkan selepas banjir yang berlaku pada awal tahun lalu sehingga mengotori ruang solat sekali gus memberi imej negatif,” katanya yang terpaksa menyediakan ruang solat untuk pengunjung atau menumpang surau di Kampung Tanggai.

Beliau berkata, keadaan struktur tanah berhampiran surau dan tandas juga menggusarkan hatinya apabila setiap kali hujan lebat, tanah akan runtuh.

“Keadaan tebing longkang yang sudah runtuh juga mencacatkan pemandangan kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, beliau sudah mengutarakan masalah itu kepada pihak berkenaan, namun masih belum mendapat maklum balas.

“Bagi menyelesaikan masalah ini, pihak berkenaan perlu menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan agar masalah kebersihan dan gangguan bekalan air dapat diatasi segera.

“Jika saya memiliki sumber kewangan yang kukuh, mungkin saya boleh membantu membuat kerja-kerja penyelenggaraan itu, namun kekangan kewangan membantut pergerakan saya,” katanya.

Katanya, banyak masalah yang berlaku di sini seperti rumput tidak dimesin, sampah sarap tidak dipungut dan semak tidak di tebas.

“Justeru, diharap pihak berkaitan dapat memantau dan memandang serius masalah berkenaan agar produk pelancongan yang bernilai tinggi ini tidak terbiar begitu sahaja tanpa ada pengunjung,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9395832.asp

Monday 1 August 2011

Bantuan perubatan baitulmal

KAMPUNG IBOL – Permohonan bantuan baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) bukan sekadar membantu keluarga kurang berkemampuan dari segi kewangan, tetapi juga menghulurkan bantuan dari segi perubatan.
Pegawai Baitulmal daerah Kuala Pilah, Mohd Hasbollah Ahmad berkata, setiap permohonan baitulmal di bawah Mains akan melalui proses tapisan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja disenaraikan.
“Begitu juga skim bantuan perubatan. Bagi mereka yang menghadapi penyakit kronik dan sangat perlukan bantuan kewangan, mereka layak memohon bantuan tersebut dengan mengisi borang.
“Individu itu boleh mohon kepada pihak baitulmal melalui proses yang betul. Sebagai bukti, mereka perlu membawa rekod perubatan bagi mengukuhkan permohonan itu supaya bantuan yang diberikan sampai ke golongan sasa-ran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Asnaf Fakir Miskin membabitkan wang tambahan RM200 di Masjid Kampung Ibol, Terachi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Datuk Abd Samad Ibrahim; Kaunselor Pusat Kaunseling daerah Kuala Pilah Mohd Hasni Zulkifle dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ibol, Kamarulzaman Othman.
Mohd Hasbollah berkata, skim itu diperkenalkan bagi menambah lagi bilangan penerima bantuan zakat dan meluaskan skop penerima bantuan mereka memerlukan.
“Rata-rata penerima sumbangan menyifatkan baitulmal sebagai penyelamat untuk meringankan bebanan berikutan taraf hidup yang terus meningkat sekarang.
“Bantuan baitulmal itu hanya ditawarkan kepada golo-ngan penerima melalui tapisan rapi Mains dan beberapa agensi berkaitan yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Dalam pada itu, Hasbollah memberitahu, penerima bantuan perubatan bagi daerah Kuala Pilah pada Januari hingga Julai tahun ini adalah seramai 243 orang.
Manakala, katanya, bagi penerima bulanan bantuan asnaf fakir miskin dari lima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Pilah adalah seramai 1,675 orang.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9389811.asp