Sunday 21 August 2011

Surau baru mercu penyatuan

JOHOL – Harapan orang-orang adat di Luak Johol, di sini, untuk menunaikan ibadah dengan lebih selesa tercapai apabila surau baru yang didirikan siap dibina di Balai Undang Luak Johol.

Surau yang telah diberi nama Al-Ikhlas itu menelan belanja RM195,000 peruntukan daripada Projek Infrastruktur Awam (PIA) 2011, Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan.

Ia di bawah Unit Penye-larasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

Pembinaan surau itu dilakukan secara berperingkat yang mana meliputi dewan solat utama yang boleh menampung kira-kira 180 jemaah dalam satu-satu masa.

Surau itu, dirasmikan Undang Luak Johol, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani.

Timbalan Pegawai Tanah Daerah, Mohd Aminoddin Othman berkata, surau tersebut telah dibina pada 9 Mei hingga 1 Ogos siap sepenuhnya.

“Alhamdulillah, surau ini akhirnya siap dalam tempoh 12 minggu. Saya benar-benar mengharapkan agar surau itu nanti akan menjadi mercu tanda penyatuan dan perpaduan masyarakat di samping menjadi pusat untuk mendalami ilmu-ilmu agama.

“Ilmu agama sentiasa dititikberatkan tidak kira masa. Banyakkan ceramah dan kuliah agama di sini agar kita dapat mengimarahkan surau di dalam perkarangan Balai Undang Johol,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian surau Al-Ikhlas, dan pemberian sumbangan kepada 95 anak yatim di Dun Johol.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawabnya merealisasikan harapan penduduk di sini untuk mempunyai sebuah surau yang akan menjadi nadi dan jantung kehidupan bermasyarakat di sini.

“Alhamdulillah dengan peruntukkan yang diberikan, surau ini telah tersergam indah.

"Apabila ruang sudah luas, pelbagai aktiviti dapat dijalankan dengan jayanya.

“Sehubungan itu juga, surau ini dapat membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan tempat dan kemudahan untuk beribadat yang selesa kepada penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, surau itu diserikan dengan aktiviti kelas bacaan al-Quran pada waktu petang, kuliah agama dan pelbagai pengisian lain, sekali gus memberi manfaat.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9453061.asp

No comments:

Post a Comment