Tuesday 13 September 2011

Kerosakan sudah berlarutan

TERACHI – Penduduk dan pengguna jalan raya memohon kepada pihak berkaitan mengambil tindakan segera membaiki jalan Kampung Baru Lanjut Manis, di sini yang rosak teruk.
Penduduk, Saedun Hussin, 45, berkata, kerosakan itu berlarutan untuk tempoh lama sehingga menyukarkan pengguna.
Menurutnya, jalan itu semakin rosak berikutan kenderaan sentiasa berulang alik menggunakan jalan berkenaan.
“Jalan ini memang sentiasa dilalui memandangkan terdapat penempatan termasuklah rumah saya. Sudah lama jalan ini tidak berturap hingga tarnya telah pecah sementara strukturnya sudah rosak sehingga memaksa pengguna menggunakan laluan bersebelahan.
“Namun, ia mengundang risiko bahaya memandangkan jalan ini kecil, apabila berselisih menyukarkan pengguna. Tambahan pula, satu pembetung sudah pecah dan terdapat tanda rekahan tanah, bila-bila masa boleh berlaku runtuhan,” katanya.
Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, Saedun berharap, pihak berkaitan memandang serius masalah tersebut.
“Sekiranya masalah peruntukan menjadi kekangan kepada pihak berkenaan untuk mengatasi kesulitan itu, satu laluan alternatif berturap perlu dibina.
“Kerosakan ini sudah lama, maka tidak perlu tunggu lebih lama lagi kerana penduduk menggunakan laluan itu setiap hari,” katanya.
Katanya, kerja-kerja penanaman paip bawah tanah telah selesai berdasarkan pemerhatiannya, namun kawasan rumahnya masih belum menerima sumber air.
“Mereka membuat kerja penanaman paip bawah tanah sejak awal 2011. Walaupun begitu, rumah saya terpaksa menggunakan generator memandangkan air tidak dapat sampai ke rumah. Gangguan air turut berlaku di sini terutamanya pada musim perayaan Aidilfitri.
“Oleh itu, masalah sebegini perlu diberi perhatian dengan segera oleh pihak berkaitan demi keselesaan penduduk, dan pengguna yang melalui jalan tersebut” katanya.http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9522773.asp

Sunday 11 September 2011

Pokok reput hempap dapur

PILAH TENGAH – Seorang warga emas, dekat sini mengalami detik cemas apabila sebatang pokok kundang yang reput tumbang lalu menghempap dapur rumahnya, kelmarin.
Kejadian mengejutkan itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang kelmarin di Kampung Pilah Tengah, dekat sini mengakibatkan bumbung rumahnya rosak teruk termasuk sebahagian dinding dapur.
Mangsa, Yahya Othman, 76, berkata, kejadian berlaku lewat petang ketika dia berehat di ruang tamu.
Menurutnya, ketika kejadian, tidak berlakunya hujan mahupun ribut, hanya ada angin sahaja.
“Saya tidak sangka pokok itu akan tumbang apabila secara tiba-tiba terdengar bunyi kuat dari arah belakang dan melihat pokok besar menghempap bumbung dapur.
“Saya terkejut dan tergamam lalu keluar melihat keadaan rumah saya,” katanya yang tinggal seorang diri selepas kematian isteri.
Yahya berkata, bersyukur kerana tidak berlaku kemalangan jiwa.
“Pokok itu berkemungkinan sudah tua dan reput menyebabkannya tumbang walaupun tiada angin ribut.
“Pokok kundang itu memang sudah tertanam di sini sejak dulu lagi dan usianya juga sudah menjangkau puluhan tahun. Saya amat bersyukur kerana pokok itu tidak menghempap bahagian ruang tamu,” katanya.
Dalam pada itu, Yahya turut menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah bagi membantu memotong pokok yang tumbang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pilah Tengah, Hamzah Othman berkata, peruntukan membaik pulih rumah telah diusulkan kepada Pejabat Daerah Kuala Pilah.
Menurutnya, pihak Pejabat Daerah Kuala Pilah telah datang melihat keadaan rumah mangsa.
“Pelbagai pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut telah dimaklumkan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Begitu juga dengan bantuan dari Adun Pilah, Adnan Abu Hassan dan Setiausaha Khas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Zain Zainal yang turun padang melihat keadaan rumah mangsa yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa,” katanya.http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9519130.asp