Thursday 30 June 2011

Ahli CAT edar risalah

KUALA PILAH - Bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kegiatan jenayah, Inisiatif Crime Awareness Team atau CAT mengedarkan beberapa risalah.

Ketua CAT, Mohamad Ramadan Zaharuddin berkata, pembabitan golongan muda amat diperlukan bagi mengatasi kegiatan jenayah.

Menurutnya, seramai 30 belia berumur 15 hingga 25 tahun turut serta mengedarkan risalah kepada orang ramai.

“Antara risalah yang diedarkan adalah mengenai Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM).

“Penganjuran ini juga bertujuan menyedarkan belia dan remaja kerana mereka sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah terutama jenayah jalanan,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan risalah kepada orang ramai di salah sebuah pusat membeli-belah di Kuala Pilah.

Difahamkan, program itu dianjurkan di bawah Pejabat Belia dan Sukan daerah Kuala Pilah dengan kerjasama CAT dan Teambike Kuala Pilah.

Mohamad Ramadan berkata, ahli CAT akan didedahkan dengan pelbagai input dan pengetahuan mengenai pencegahan jenayah daripada agensi terbabit seperti PDRM dan JPAM.

“Selepas diberi pendedahan, kami mengambil tanggungjawab itu memberi penerangan kepada orang ramai supaya mereka sedar terutamanya golongan wanita yang berisiko tinggi terdedah kepada jenayah.

“Penganjuran ini secara tidak langsung mewujudkan generasi muda yang berwaspada terhadap keselamatan di dalam komuniti sekali gus menjadi rakyat yang berguna,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan CAT mampu menanam semangat kesukarelawan dalam kalangan belia remaja supaya berfikiran matang, bersemangat dan bertanggungjawab.

“Apabila remaja bersemuka dengan orang ramai untuk memberi risalah, ia akan meningkatkan keyakinan pada diri mereka secara tersirat.

“Remaja bukan hanya membantu orang ramai tetapi juga membantu diri mereka dengan melahirkan golongan positif dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, program itu adalah siri pertama dan akan terus bergiat aktif pada bulan seterusnya.
Sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9247303.asp

OKU sara keluarga

DIOH – Walaupun cacat anggota di kaki sebelah kanan kerana kanser tulang, namun ia tidak mematahkan semangat untuk wanita tabah ini berusaha menyara keluarga.

Siti Aishah Shaman, 51, ditimpa kemalangan pada 1986 ketika pulang bekerja di Kuala Lumpur.

Namun, selepas itu pada 2001, dia mendapati kaki kanannya kehitaman dan tidak berfungsi dipercayai ada serpihan kaca tertinggal selepas mendapatkan rawatan di hospital.

“Memang dalam tempoh beberapa tahun itu, kaki kanan sakit, tidak berfungsi selain kehitaman. Saya pergi membuat rawatan dan doktor mengesahkan saya menghidap kanser tulang akibat serpihan kaca itu.

“Pada mulanya perasaan sedih dan berdebar-debar menghantui diri tetapi selepas doktor memberi nasihat supaya kaki saya itu dipotong dan di atas kerelaan hati, pada tahun yang sama saya melakukan pembedahan di mana kaki kanan dipotong sehingga lutut,” katanya ketika ditmeui di Kampung Dioh, Senaling.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Datuk Ismail Lasim.

Selepas peristiwa itu, Siti Aishah terpaksa menjalani kehidupannya di atas kerusi roda.

Menurutnya, dia tidak putus asa untuk mengharungi cabaran kehidupan seperti insan normal.

“Walaupun dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), tapi saya tidak mudah putus asa. Saya melakukan kerja seperti biasa dan menternak ayam di rumah bagi menyara keluarga.

“Menternak ayam memang impian sejak awal. Oleh itu, saya mohon kepada pemimpin kawasan untuk membantu saya dengan memberi anak ayam sebagai penambahan bilangan ternakan. Alhamdulillah, hasrat saya tercapai,” katanya yang memiliki dua anak.

Malah katanya, pada awalnya memang sukar tetapi dia berpegang kepada prinsip ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

“Pilihan terletak di tangan kita, dengan doa mengiringi setiap pencapaian, Insya-Allah, Tuhan akan membuka jalan kepada kita.

“Saya nasihatkan kepada OKU yang suka menyendiri dan kurang berkeyakinan agar membuka mata mereka. Jangan memberi alasan disebabkan kecacatan anggota badan, kita tidak boleh berjaya seperti insan normal yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Aishah turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana meluluskan permohonan elaun bulanan iaitu RM300 dan baitulmal RM250 bagi elaun perubatan.

“Saya bersyukur kerana mereka memahami keadaan saya. Suami saya juga seorang OKU selepas terlibat dalam kemalangan yang turut mengorbankan anak perempuan saya pada tahun ini.

“Semua dugaan dan rintangan perlu diharungi juga. Oleh itu, saya turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di atas sumbangan yang dihulurkan untuk membina reban ayam,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9243867.asp

Tuesday 28 June 2011

Diajak Sertai Pasukan Rela

KEPIS – Individu yang memiliki senapang patah persendirian dan berlesen digalakkan menyertai aktiviti Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang dilaksanakan di kawasan kampung.

Pegawai Rela daerah, Leftenan Kolonel Hassan Yusoff berkata, aktiviti kemasyarakatan dijalankan oleh Rela seperti membasmi musuh tanaman memerlukan sokongan daripada penduduk terutama yang memiliki senapang patah persendirian.

Menurutnya, sesiapa yang memiliki senapang patah sebenarnya ahli Rela. Jadi, tidak ada salahnya mereka turut serta dalam aktiviti yang melibatkan senjata api.

“Langkah itu secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama ahli Rela dan masyarakat.

“Tujuan aktiviti Rela adalah ingin menyejahterakan rakyat, bila mereka sama-sama menyertai aktiviti itu, mereka sudah melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Pengenalan Rela siri 7 yang disempurnakan Persuruhanjaya Skuad Sayang Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar di Balairaya Kampung Seri Kepis.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seri Kepis, Mohammad Shah Said.

Hassan berkata, peranan JKKK amat diperlukan dalam usaha mengenal pasti penduduk yang memiliki senjata berkenaan.

“JKKK perlu mengenal pasti penduduk yang memiliki senjata itu dan maklumkan kepada mereka untuk sama-sama sertai program Rela.

“Mereka tidak perlu rasa segan atau malu malah ia satu pendekatan terbaik untuk kita merapatkan silaturahim. Selain itu, penglibatan dalam jumlah yang ramai dapat membantu mengurangkan ancaman musuh tanaman penduduk,” katanya.

Katanya, penganjuran aktiviti Rela di sesebuah kampung bukan tertumpu kepada ahli Rela di kawasan itu sahaja.

“Malah ia melibatkan ahli Rela seluruh daerah Kuala Pilah. Tiada halangan mahupun sempadan untuk mereka datang memeriahkan program Rela di mana sahaja.
“Jika program di Kampung Gunung Pasir, ahli Rela seluruh daerah boleh datang membantu menjayakannya. Inilah semangat sukarela dalam memberi perkhidmatan penuh dedikasi dalam menjaga keselamatan kampung dan negara,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9236745.asp

Sunday 26 June 2011

1Murid 1Sukan disambut baik

JUASSEH – Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kepis dan golongan ibu bapa yang mahukan anak mereka seimbang dari segi akademi dan kokurikulum, menyambut baik dasar 1Murid 1Sukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Datuk Ismail Lasim berkata, dasar itu memberi peluang kepada murid untuk memilih satu jenis sukan ditawarkan pihak sekolah atau dijalankan dengan persetujuan sekolah.

Menurutnya, mereka boleh menjadi atlet pelapis sekiranya mempunyai minat mendalam terhadap sukan yang dipilih dan menerima didikan serta bimbingan daripada guru yang berkaliber.

“Selain itu, dasar ini berhasrat memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid supaya menjadi anggota masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas,” katanya pada Kejohanan Sukan Olahraga dan Sukan Rakyat SK Kuala Kepis, Juasseh.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Terusan Seberang, Amran Wahab.

Ismail berkata, Falsafah Pendidikan Negara adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan modal insan cemerlang dari pelbagai su�dut.

Menurutnya, kerajaan bukan hanya melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang pendidikan tetapi berjaya dalam bidang sukan.

“Ini kerana bidang sukan dapat menjamin masa depan yang cerah seperti ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan yang berasal dari negeri ini. Mereka memilih sukan sebagai bidang profesion yang mampu menjamin masa depan,” katanya.

Sementara itu, guru besar SK Kuala Kepis, Rusnah Zamzam berkata, kejohanan yang dianjurkan pada kali ini berjaya dilaksanakan atas komitmen guru dan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan.

“Seiring dengan dasar 1Murid 1Sukan, pihak sekolah sentiasa komited dan membuat persiapan menjelang pelancaran Dasar 1Murid 1Sukan 1Malaysia pada 2 Julai depan secara serentak di seluruh negeri.

“Semua murid, guru dan ibu bapa akan menyertai larian itu bagi memartabatkan sukan di sekolah ini dan sebagai tanda sokongan kami kepada dasar itu, ia akan dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Thursday 23 June 2011

Cerita Bersih 2.0

Sebanyak 12 laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah bagi membantah perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang bakal diadakan pada 9 Julai.

Antara pihak yang membuat laporan polis adalah Pergerakan Pemuda dan Wanita Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Pilah bersama Komponen BN Kuala Pilah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Belia 4B kawasan Kuala Pilah, Persatuan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Pilah, Perkasa Daerah Kuala Pilah, Pekida Kuala Pilah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jemapoh Juasseh.

Ketua Pergerakan Pemuda Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith berkata, tindakan bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu untuk mengadakan perhimpunan secara besar-besaran tidak relevan.

Menurutnya, perhimpunan itu kononnya akan dapat menzahirkan tuntutan rakyat untuk sebuah sistem demokrasi tuntas demi menjamin sebuah pilihan raya umum yang adil.

“Jika mahu menghantar memorandum, ianya boleh dibuat dengan cara yang lebih sesuai tanpa perlu berhimpun, malah wakil mereka boleh bercakap di dalam Dewan Rakyat tetapi usaha ini dilihat seperti mempunyai agenda lain tidak ubah seperti gerakan menghidupkan suasana kacau bilau seperti di Mesir, Tunisia dan Syria,” katanya.

Eddin Syazlee berkata, perhimpunan Bersih itu tidak lebih hanyalah satu helah untuk mengheret rakyat ke dalam kancah politik yang lebih besar.

“Usaha ini adalah percubaan pemimpin tertentu untuk menguji pengaruh dan kekuatan. Malah kerana itu mereka sanggup menipu lebih ramai rakyat kononnya sistem yang pernah memberikan kemenangan kepada pihak mereka dahulu seperti di Kelantan dan Perak sebagai salah serta tidak boleh dipertahankan. Oleh itu, ia perlu dirombak dan diberikan jaminan baru sesuai dengan keperluan mereka.

“Pemimpin sedemikian adalah orang yang tidak mempunyai jiwa perjuangan yang besar, mereka berminat mengadakan rusuhan kerana mempunyai agenda politik yang lebih besar. Bersih bukan mewakili kehendak NGO, sebaliknya didalangi pemimpin Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, beliau turut mempercayai bahawa demonstrasi anjuran pembangkang tidak akan berlangsung dengan tenang kerana semuanya akan berakhir dengan keadaan tidak aman.

“Oleh itu, kami meminta agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi menghalang perhimpunan berkenaan.

“Perhimpunan ini tidak memberi faedah kepada negara dan boleh menggugat kelancaran aktiviti ekonomi khususnya peniaga kecil seperti yang berlaku pada 2007. Ianya hanya akan menyusahkan rakyat, merugikan pemandu teksi, penjaja serta peniaga yang berniaga di sekitar kawasan berhimpun,” katanya.

Katanya, beliau turut meminta pihak Kementerian Dalam Negeri mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau media Internet seperti portal berita, blog dan Facebook yang sedang giat menyebarkan maklumat tentang perhimpunan itu.