Sunday 11 September 2011

Pokok reput hempap dapur

PILAH TENGAH – Seorang warga emas, dekat sini mengalami detik cemas apabila sebatang pokok kundang yang reput tumbang lalu menghempap dapur rumahnya, kelmarin.
Kejadian mengejutkan itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang kelmarin di Kampung Pilah Tengah, dekat sini mengakibatkan bumbung rumahnya rosak teruk termasuk sebahagian dinding dapur.
Mangsa, Yahya Othman, 76, berkata, kejadian berlaku lewat petang ketika dia berehat di ruang tamu.
Menurutnya, ketika kejadian, tidak berlakunya hujan mahupun ribut, hanya ada angin sahaja.
“Saya tidak sangka pokok itu akan tumbang apabila secara tiba-tiba terdengar bunyi kuat dari arah belakang dan melihat pokok besar menghempap bumbung dapur.
“Saya terkejut dan tergamam lalu keluar melihat keadaan rumah saya,” katanya yang tinggal seorang diri selepas kematian isteri.
Yahya berkata, bersyukur kerana tidak berlaku kemalangan jiwa.
“Pokok itu berkemungkinan sudah tua dan reput menyebabkannya tumbang walaupun tiada angin ribut.
“Pokok kundang itu memang sudah tertanam di sini sejak dulu lagi dan usianya juga sudah menjangkau puluhan tahun. Saya amat bersyukur kerana pokok itu tidak menghempap bahagian ruang tamu,” katanya.
Dalam pada itu, Yahya turut menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah bagi membantu memotong pokok yang tumbang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pilah Tengah, Hamzah Othman berkata, peruntukan membaik pulih rumah telah diusulkan kepada Pejabat Daerah Kuala Pilah.
Menurutnya, pihak Pejabat Daerah Kuala Pilah telah datang melihat keadaan rumah mangsa.
“Pelbagai pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut telah dimaklumkan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Begitu juga dengan bantuan dari Adun Pilah, Adnan Abu Hassan dan Setiausaha Khas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Zain Zainal yang turun padang melihat keadaan rumah mangsa yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa,” katanya.http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9519130.asp

No comments:

Post a Comment