Wednesday 17 August 2011

Pekida terus sokong Umno

JUASSEH – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Amar Makruf Nahi Mungkar, terus menyokong Umno sebagai parti yang bernaung di bawah Barisan Nasional (BN).

Penasihat Pekida daerah Kuala Pilah, Abdul Razak Zainal berkata, Pekida sentiasa berada di belakang Umno dalam usaha memartabatkan bangsa Melayu mengenai perjuangan dan jati diri Melayu.

“Kami akan bersatu di bawah satu wadah perjuangan untuk mempertahankan agama bangsa dan negara. Selagi agama Islam menjadi pegangan kerana itulah kita perlu bersatu walaupun berbeza pendapat.

“Jangan ada perpecahan berlaku antara orang Melayu kerana kita berpegang kepada agama Islam yang satu. Justeru, saya menyeru agar bangsa Melayu perlu mengukuhkan perpaduan demi kelangsungan generasi muda akan datang,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Penyampaian Bantuan dan Berbuka Puasa di Masjid Kariah Pasir Ambor.

Majlis anjuran Pekida daerah Kuala Pilah itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek; Adun Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Ambor, Alias Dolah.

Abdul Razak berkata, majlis itu adalah satu pertemuan antara orang kampung dan ahli-ahli Pekida.

“Selama ini, Pekida hanya bergerak sendiri sahaja tetapi kali ini, kita libatkan pula orang kampung bagi merapatkan hubungan silaturahim.

“Kita melakukan gotong-royong untuk masak juadah berbuka puasa. Saya rasa pendekatan ini lebih baik untuk Pekida mendekati orang kampung,” katanya.

Beliau berkata, majlis penyampaian itu juga bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan di samping melakukan aktiviti kebajikan di kawasan tersebut.

“Ia dilakukan demi kesejahteraan masyarakat kampung yang kurang bernasib baik. Pihak kami menyediakan barang keperluan harian agar golongan ini dapat merasai kenikmatan hidup duniawi.

“Senarai nama penerima diperoleh daripada JKKK Pasir Ambor. Penerima ini sememangnya yang layak diberikan bantuan kerana kebanyakan adalah ibu tunggal,” katanya.

Sementara itu, penerima, Norian Abas, 58, berkata, bantuan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak meringankan bebanan yang terpaksa ditanggungnya.

“Walaupun sudah berkahwin, namun tidak dikurniakan anak malah lebih perit apabila suami meninggal dunia beberapa tahun lalu.

“Saya tinggal seorang diri, namun kini menumpang kasih di rumah saudara terdekat di sini,” katanya.

Katanya, kini dia juga mengalami sakit lutut hingga terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9437197.asp

No comments:

Post a Comment